26 Feb 2012

CERAMAH AGAMA:SEDEKAH

           Pada 24 Februari 2012 sekali lagi slot ceramah agama telah dijalankan pada petang jumaat.Kali ini tema yang dibawakan oleh Ustaz Hj Affandy bin Mat Nor ialah berkaitan dengan SEDEKAH.Seperti mana yang kita ketahui sedekah adalah amalan yang amat digalakkan dalam agama Islam.Hal ini kerana bersedekah terutamanya kepada yang memerlukan sangatlah bersifat mulia dimata Allah.

           Slot pada petang yang penuh barakah itu telah dimulai dengan bacaan doa oleh saudara Munir bin Abd Halek daripada Kumpulan 78.Selepas itu bacaan ayat suci Al-Quran oleh saudara Amiruddin dan bacaan tafsir oleh saudara Ibrahim bin Isa .

            Konsep sedekah dalam Islam telah diketengahkan oleh penceramah jemputan. Sedekah berasal daripada perkataan Arab iaitu 'sadaqa' yang bererti benar.Orang yang suka bersedekah adalah orang yang benar pengakuan imannya namun dari segi terminologi syariat pula,pengertian sedekah sama dengan pengertian infaq iaitu mengeluarkan sebahagian dari harta untuk suatu kepentingan yang diperintahkan Islam.

                                         

          Sesungguhnya tangan yang memberi sedekah itu lebih baik daripada tangan yang menerima dan bersedekahlah kamu walaupun dengan sebijik kurma Insyaallah kamu akan diberkati olehNya

          Sedekah ialah satu pemberian ikhlas samada benda itu merupakan sesuatu yang kita sayangi ataupun tidak.Namun yang menjadi asas utama adalah melalui keikhlasan.Maknanya kita tidak memikirkan dan mengharapkan sebarang balasan apabila bersedekah,Sedekah ini juga lebih merujuk kepada pemberian terutamanya seperti barang makanan.Wakaf pula ialah pembelian barangan untuk kegunaan masjid,surau,rumah anak yatim dan sebagainya.

                           
MAKSUDNYA:
Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh “.


Antara kelebihan yang akan diperolehi apabila amalan sedekah dilakukan ialah
  • dipanjangkan umur
  • mencegah ajal yang buruk
  • menghapuskan sikap sombong dan bangga diri
  • menolak bala
Menurut hadis riwayat Al-Baihaqi bersabda:
"Segerakanlah kamu bersedekah,kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah"


           Seterusnya slot pada petang itu tidak berakhir begitu sahaja.Ini adalah kerana sesi soal jawab telah dibuka dalam kalangan para pelatih bagi menjawab sebarang soalan yang mungkin menjadi kemushkilan di dalam diri.Antara soalan yang diperkatakan adalah:

1) Senyum itu satu sedekah.Adakah seorang perempuan boleh senyuman kepada lelaki dan sebaliknya?
  Ya,situasi ini boleh berlaku tetapi dengan niat dihati senyuman sekadar sebagai seorang kawan dan niat kerana Allah serta tidak menjurus kepada sebarang perzinaan

2)Yang manakah yang lebih baik antara orang kaya yang bersedekah dengan orang miskin yang bersyukur?
Yang lebih baik adalah orang kaya yang bersedekah kerana orang miskin itu tadi menerima manfaat daripada yang kaya.

No comments: